
Acara itu pada mulanya dijadual diadakan di Hotel Impiana KLCC di Kuala Lumpur, tetapi dibatalkan atas “masalah teknikal”.
Penganjurnya, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu berkata, lokasi kedua kemudiannya dipilih namun mereka dimaklumkan malam tadi oleh pihak pengurusan lokasi tersebut bahawa tempahan mereka dibatalkan.
“Pihak pengurusan dewan tidak menyatakan sebarang sebab atas pembatalan tersebut,” kata sekretariat itu dalam kenyataan.
Walaupun sekretariat itu tidak menamakan lokasi kedua tersebut, Utusan Malaysia melaporkan ia akan diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Mereka kemudian memohon maaf kepada tetamu jemputan atas perubahan lokasi sebanyak dua kali, dan memaklumkan mereka akan membuat pengumuman dalam waktu terdekat.
Mahathir dijangka menghadiri majlis itu atas kapasiti peribadi, bukan sebagai wakil Putra, parti yang disertainya baru-baru ini selepas meninggalkan parti yang diasaskannya, Pejuang.
Bekas perdana menteri itu sebelum ini mendakwa, orang Melayu tidak lagi menguasai politik dan ekonomi negara.
Pada 2019, Mahathir, yang ketika itu mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghadiri Kongres Maruah Melayu tetapi menyangkal tuduhan ia bersifat perkauman. Tiada ucapan yang mengkritik orang bukan Melayu, katanya.
Sekretariat Proklamasi Orang Melayu sebelum ini dilaporkan berkata, acara “Proklamasi Melayu” itu bukan bersifat politik tetapi hanya untuk membincangkan isu-isu berkaitan masyarakat Melayu.