Ku Li kekal ketua Umno Gua Musang

Ku Li kekal ketua Umno Gua Musang

Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya mengekalkan jawatan yang disandangnya itu, sejak 1962.

Tengku Razaleigh Hamzah meraih 453 undi berbanding dua pencabarnya Che Mohd Izani Che Musa dengan 46 undi dan Saari Lembut yang hanya memperoleh lima undi.
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi penggal 2023-2026 diadakan hari ini melibatkan 189 daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara.

Walaupun keputusan belum diumumkan sepenuhnya, namun terdapat beberapa bahagian yang mencuri tumpuan antaranya kemenangan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya mengekalkan jawatan yang disandangnya itu, sejak 1962.

Mesra disapa Ku Li, veteran politik itu berjaya meraih 453 undi berbanding dua pencabarnya Che Mohd Izani Che Musa dengan 46 undi dan Saari Lembut yang hanya memperoleh lima undi.

Ku Li mula menyandang jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Gua Musang ketika berusia 25 tahun dan kemenangan yang diraih ini, sekali gus menobatkan beliau sebagai ketua Umno Bahagian paling lama berkhidmat di negara ini.

Pemilihan bagi penggal 2023-2026 merupakan kali kedua Tengku Razaleigh dicabar sepanjang 64 tahun memimpin Umno Bahagian Gua Musang.

Di Negeri Sembilan, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan turut mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Rembau yang disandangnya sejak 2003 selepas menang tanpa bertanding untuk jawatan itu.

Di Kedah, turut menang tanpa bertanding ialah Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid yang mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Padang Terap.

Di Kelantan, Ketua Umno negeri Ahmad Jazlan Yaakub kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Machang bagi penggal 2023-2026 selepas menang tanpa bertanding.

Turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Ketua Umno negeri yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Bharu Mohd Fatmi Mohd Salleh, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman, ADUN Kok Lanas Md Alwi Che Ahmad yang dipilih Ketua Umno Bahagian Ketereh dan Zaluzi Sulaiman (Pengkalan Chepa).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.