Kenapa tangguh cukai 10% barangan dalam talian, soal ahli ekonomi

Kenapa tangguh cukai 10% barangan dalam talian, soal ahli ekonomi

Penangguhan itu menambah kepada senarai dasar yang mengelirukan, dengan perubahan dibuat secara ad hoc, menurut Geoffrey Williams.

Cukai ke atas barangan bernilai rendah yang dijual dalam talian sepatutnya berkuat kuasa pada 1 April.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi meminta penjelasan mengenai penangguhan secara tiba-tiba oleh kastam cadangan cukai 10% ke atas barangan bernilai rendah dijual dalam talian, yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 April.

Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, berkata penangguhan itu memberikan tanggapan bahawa dasar ekonomi tidak difikirkan masak-masak.

“Kita tidak dapat penjelasan untuk penangguhan ini,” katanya kepada FMT.

“Walaupun penangguhan itu akan membawa kesan kecil kepada hasil kerajaan, ia perlu dijelaskan.”

Williams berkata, kelihatan seperti wujud kekeliruan mengenai dasar ekonomi kerana perubahan “ad hoc” gagal disampaikan.

Beliau memetik penangguhan pelaksanaan gaji minimum bagi syarikat dengan kurang daripada lima pekerja, dari 1 Jan hingga Julai, serta cadangan cukai ke atas barangan mewah.

Cukai 10% ke atas barangan bernilai rendah dicadangkan oleh bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika beliau membentangkan Bajet 2022.

Katanya, cukai itu akan menyamakan kedudukan bagi barangan buatan tempatan.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Paul Selva Raj berkata, penangguhan itu membawa kepada ketidaktentuan dan banyak pihak akan dibiarkan tergantung.

“Ini akan menjejaskan operasi perniagaan. Bagaimana anda harap mereka dapat buat sebarang rancangan yang kukuh?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.