
Zahid berkata, keputusan itu membuktikan beliau bersikap profesional walaupun anaknya sendiri yang bertanding pada pemilihan parti kali ini, lapor Sinar Harian.
Katanya, walaupun beliau adalah ketua Bahagian Umno Bagan Datuk dan presiden Umno, kekalahan Nurul Hidayah memperlihatkan tidak ada campur tangan di peringkat bahagian dan di semua peringkat parti.
“Sebagaimana yang saya seru sebelum ini kepada ahli untuk membuat pilihan yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik, ini termasuk (kepada) anak sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk.
Nurul Hidayah gagal memenangi jawatan ketua wanita Umno Bahagian Bagan Datuk selepas tewas di tangan penyandangnya, Zarozatin Isa.
Zahid pula menang tanpa bertanding jawatan ketua Bahagian Umno Bagan Datuk.
Bagaimanapun, Nurul Hidayah mendapat undi kedua terbanyak bagi jawatan Exco Wanita Umno pusat.