
“Mungkin ada percubaan (pertandingan proksi). Saya minta perwakilan menolak ‘calon proksi’ kerana kita mahu membentuk pasukan yang kuat dalam Umno,” katanya dalam sesi “Jawab, Saya Tanya” dianjurkan NRChannel TV.
Dalam pada itu, Zahid berkata proses pemilihan secara keseluruhannya berjalan lancar menurut laporan diberikan pengerusi jawatankuasa pemilihan Umno mahupun seluruh jawatankuasanya.
“Memang tidak lebih daripada 20 aduan yang dikemukakan, dan kita lihat daripada 578 mesyuarat semua sayap, saya fikir ia tak melebihi 50% daripada mereka yang mempunyai permasalahan,” katanya.
Zahid turut meminta calon yang menang dalam pemilihan parti untuk bersama mengembalikan Umno sebagai wadah politik anak bangsa.
“Kita jangan menoleh ke belakang lagi untuk mencari sebab musabab faktor dalaman atau faktor luaran, tetapi mara dengan hala tuju baharu.
“Saya harap pasukan yang akan terpilih nanti membuat ketentuan bahawa rasa kekitaan dan kebersamaan di kalangan pemimpin yang ada, mesti mendukung cita-cita serta berhasrat untuk merelevankan semula Umno di persada politik tanah air,” katanya.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian bersama pemilihan exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat diadakan serentak 11 Mac lalu.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli MKT Umno pula akan diadakan Sabtu ini.