
Lloyd George Bedwell, 48, dan Roger Hoi, 46 mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dua warga Austria di Mahkamah Sesyen Butterworth.
Kosmo melaporkan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 dan 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Zulhazmi Abdullah mengarahkan dua tertuduh menjalani hukuman penjara mulai tarikh tangkapan pada 21 Feb lalu.
Bedwell dan Hoi didakwa memperdaya Trevor Ronald John Curtis serta Kimberley John Buist membeli saham di sebuah syarikat dikenali sebagai Devon Energy Corporation, yang dua tertuduh itu tahu tidak wujud, dengan jaminan meraih keuntungan tinggi.
Justeru, mereka mendorong mangsa menyerahkan AUD8,991.92 (RM27,018.28) dan AUD8,573 (RM25,759.54) dalam akaun RHB Bank Berhad milik MB International Sdn. Bhd.
Kesalahan itu dilakukan di Island Plaza Tower, Tanjong Tokong pada 16 Dis 2022 dan 5 Jan lalu.
Pada 22 Feb lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membongkar sebuah sindiket penipuan antarabangsa menerusi serbuan dinamakan “Op Tropicana” ke atas 24 premis di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
New Straits Times melaporkan sindiket yang beroperasi sejak 2019 itu mengaut RM200 juta dengan menyasarkan mangsa dari United Kingdom dan Australia.