RUU Dana Politik akan dibawa semula kepada Jemaah Menteri, kata Azalina

RUU Dana Politik akan dibawa semula kepada Jemaah Menteri, kata Azalina

RUU tersebut sebelum ini dijangka dibentangkan pada November namun Parlimen dibubarkan pada 10 Okt bagi memberi laluan kepada PRU15.

Azalina Othman Said berkata, sesi libat urus perlu diteruskan untuk mendapatkan maklum balas daripada parti-parti politik dan pihak berkepentingan agar akta yang akan digubal bersifat inklusif dan komprehensif.
PETALING JAYA:
Rang Undang-undang (RUU) Dana Politik perlu diangkat semula untuk mendapatkan kelulusan dasar baharu oleh Jemaah Menteri, kata Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said.

Azalina berkata, sesi libat urus perlu diteruskan untuk mendapatkan maklum balas daripada parti-parti politik dan pihak berkepentingan agar akta yang akan digubal bersifat inklusif dan komprehensif.

Ini susulan perkembangan politik pasca PRU15, yang mana terdapat gabungan politik baharu.

Justeru, Azalina berkata, RUU tersebut akan dicadang untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen supaya semua ahli Dewan Rakyat boleh memberikan pandangan dan cadangan.

“Selain RUU Dana Politik, kerajaan juga akan mengambil kira amalan dan perundangan sedia ada untuk mengatasi isu dana politik, antaranya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pendaftar Pertubuhan 1966 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Kegiatan Haram 2001,” katanya menerusi jawapan kepada pertanyaan lisan di laman sesawang Parlimen.

Azalina menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang mahu tahu sama ada kerajaan berhasrat merealisasikan Akta Dana Politik bagi menjamin demokrasi negara yang lebih telus dan bersih.

Pada 24 Sept tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan undang-undang) ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU berkenaan dijangka akan dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat pada November.

Bagaimanapun, ia tidak sempat dibahaskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt bagi memberikan laluan kepada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.