Rumah ibadat di lokasi berhampiran bukan halangan hidup harmoni, kata Salleh

Rumah ibadat di lokasi berhampiran bukan halangan hidup harmoni, kata Salleh

Salleh Said Keruak berkata amalan kesederhanaan bukan menjadi isu di Sabah yang mempunyai lebih 30 suku kaum berbeza agama.

Salleh Said Keruak berkata perbezaan agama dan latar belakang kaum tidak sama sekali menjadi halangan untuk bersatu.
PETALING JAYA:
Seorang Adun Sabah menegaskan kewujudan rumah ibadat berbeza agama di lokasi berhampiran bukan halangan untuk hidup harmoni.

Mengambil contoh situasi di negeri itu, Adun Usukan daripada Umno, Salleh Said Keruak berkata keadaan terbabit memberi gambaran amalan toleransi kaum yang tinggi dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama.

“Bagi rakyat negeri, perbezaan agama dan latar belakang kaum tidak sama sekali menjadi halangan untuk mereka bersatu. Malah jangan hairan kalau terjumpa orang Islam ke majlis perkahwinan penganut Kristian diadakan di gereja,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu menyusul selepas gesaan Ahli Parlimen Kuala Langat daripada PAS, Ahmad Yunus Hairi supaya kerajaan mengkaji kesesuaian lokasi sebelum meluluskan pembinaan rumah ibadat terutama berdekatan kawasan perumahan.

Katanya, ia bagi mengelakkan tercetusnya isu sensitif dalam kalangan penduduk berbilang bangsa dan agama.

Mengulas lanjut, Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah menggesa semua pihak mempertahankan amalan kesederhanaan dan kesepakatan dinikmati negeri itu, yang mempunyai lebih 30 suku kaum berbeza agama.

“Marilah kita pertahankan amalan kesederhanaan dan kesepakatan yang tidak mudah dipengaruhi dan diganggu gugat elemen ekstrem,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.