Hisyam Teh ketuai pembelaan Sam dalam kes basikal lajak

Hisyam Teh ketuai pembelaan Sam dalam kes basikal lajak

Rayuan Sam Ke Ting akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac.

Hisyam Teh Poh Teik akan menggantikan mendiang Gopal Sri Ram sebagai peguam utama dalm rayuan Sam Ke Ting.
PUTRAJAYA:
Peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik kini akan mengetuai rayuan kerani Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes basikal lajak.

Hisyam mengesahkan perkara itu kepada FMT selepas menghadiri pengurusan kes hari ini.

Hisyam, yang mempunyai pengalaman selama 46 tahun, kini mewakili Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah timbalan perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pasukan pembelaan Sam sebelum ini diketuai oleh Gopal Sri Ram sebelum kematiannya pada 29 Jan.

Peguam lain dalam pasukan tersebut terdiri daripada Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Faizal Mokhtar.

Rayuan Sam akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac.

Pada 13 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mensabitkan kesalahan terhadap Sam dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan memandu secara berbahaya menyebabkan kematian lapan remaja menunggang basikal lajak di Johor Bahru pada 2017. Dia juga didenda RM6,000, atau enam bulan penjara jika gagal membayarnya.

Pada akhir rayuan, Sam diperintah memulakan hukuman penjara serta-merta selepas permohonannya untuk diikat jamin sementara menunggu permohonan kebenaran merayu kepada Mahkamah Rayuan ditolak.

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk merayu dan diikat jamin seminggu kemudian.

Sam mengemukakan enam persoalan undang-undang untuk penentuan dalam rayuan itu, termasuk sama ada kenyataan yang dibuatnya dari kandang tertuduh boleh diterima dan disokong oleh bukti lain yang dikemukakan semasa perbicaraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.