
Bercakap kepada FMT, Wan Agyl Wan Hassan berkata, cadangan pembukaan semula permohonan lesen teksi dan kereta sewa kepada syarikat akan mengakibatkan masalah lama berulang jika ia tidak disertai dengan rombakan.
Beliau berkata, lebih banyak tanggungjawab perlu diletakkan pada pengendali berasaskan syarikat jika mereka memohon lesen.
Bekas ketua dasar dan perancangan operasi kumpulan SPAD itu berkata, lesen harus dikeluarkan kepada kedua-dua pemandu individu dan syarikat.
“Arahan dasar untuk membuka semula permohonan lesen teksi dan kereta sewa perlu melalui perbincangan kritikal dengan pihak berkepentingan,” katanya.
“Sama ada buruk atau baik, bergantung pada cara ia diperkenalkan semula.
“Sekiranya kerajaan memutuskan untuk membuka semula permohonan lesen tanpa sebarang perubahan dasar, ia akan menjadi perkara buruk kerana masalah lama akan berulang.”
Permohonan telah dibekukan sejak 2016.

Wan Agyl berkata, masalah utama dengan dasar sebelum ini adalah tanggungjawab syarikat memohon lesen dalam memastikan kualiti perkhidmatan minimum.
“Ia akan membolehkan elemen mencari sewa kekal dalam industri, dengan pemandu terpaksa membayar sewa untuk kenderaan tidak kira keadaan,” katanya sambil menambah, sering kali pemandu tidak mendapat banyak sokongan daripada syarikat teksi.
Beliau berkata, Malaysia boleh belajar daripada industri teksi di New York atau London, dengan menyatakan teksi kekal relevan di sana, walaupun dengan ledakan industri e-panggilan.
Beliau mengaitkan ini dengan dasar yang jelas menggariskan tanggungjawab pemandu teksi dan syarikat menyediakan teksi.
“Kita perlu model perniagaan baharu, peraturan baharu dan garis panduan baharu,” katanya.
“Saya cadang syarikat menawarkan model perkhidmatan e-panggilan yang dipertingkat, seperti model langganan untuk mengekalkan pelanggan. Ini akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pemandu dan syarikat.”
Bagaimanapun, katanya, kerajaan harus mengelak daripada membuat dasar tegar dan harus memberikan tumpuan kepada kualiti perkhidmatan dan keselamatan sambil membenarkan industri membuat inovasi mengikut permintaan.
Minggu lepas, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kerajaan berhasrat membuka semula permohonan lesen teksi dan kereta sewa kepada syarikat dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.
Loke berkata, tujuannya juga untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak mampu membeli kenderaan sendiri.

Perunding pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, permit teksi harus diberikan terus kepada pemandu dan bukannya syarikat.
Ini kerana, katanya, pemandu teksi sendiri akan lebih komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
“Cabaran utama dihadapi pemandu teksi individu adalah pembiayaan untuk membeli kenderaan dan kos penyelenggaraan,” katanya.
“Jika kerajaan boleh menyalurkan pembiayaan terjamin kepada mereka atau bank menyediakan skim untuk pembelian teksi, itu akan sangat membantu.”
Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia Kamarudin Hussain menggesa Kementerian Pengangkutan supaya membuka pintu kepada rundingan dengan pemain industri untuk mencapai hasil yang lebih baik.
Beliau berkata, kumpulan itu mengalu-alukan pengumuman Loke, tetapi menambah, pemandu bergelut untuk menampung kehidupan kerana pelbagai kadar komisen bawah syarikat berbeza.
“Apa gunanya syarikat memohon permit dan menyediakan kenderaan apabila tiada pemandu? Kementerian Pengangkutan harus berusaha menyelesaikan masalah melanda kedua-dua syarikat dan pemandu.