Anggota polis tembak isteri diarah jalani pemeriksaan mental

Anggota polis tembak isteri diarah jalani pemeriksaan mental

Ia selepas Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd Nordin Ismail memohon agar tertuduh Mohamad Nizarman Hassim menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Nizarman Hassim didakwa menembak isterinya, Safsufarnisya Salleh di sebuah rumah di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar, pada 5 Mac lalu. (Gambar Reuters)
KANGAR:
Mahkamah Majistret mengarahkan anggota polis berpangkat lans koperal yang dituduh membunuh isterinya menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd Nordin Ismail agar Mohamad Nizarman Hassim, 27, menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Nizarman yang memakai t-shirt berwarna merah dilihat beberapa kali mengesat air mata dan mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

Dia didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar antara 6.45 pagi hingga 8.50 pagi, 5 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri.

Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah sekitar 8.50 pagi menaiki trak polis sambil dikawal ketat oleh anggota polis yang bertugas.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menembak mati isterinya di bilik tidur utama rumah keluarga mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.