Tiada pemimpin Umno hadir kongres khas PKR

Tiada pemimpin Umno hadir kongres khas PKR

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana Umno sedang mengadakan pemilihan parti pada hari sama.

PKR akan mengadakan kongres khas Sabtu ini. (Gambar PKR)
PETALING JAYA:
Tiada pemimpin Umno akan hadir pada Kongres Khas PKR Sabtu ini, kata Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

Ini kerana, katanya, rakan mereka itu akan mengadakan pemilihan parti pada hari sama.

“Umno sedang mengundi hari itu, jangan kacau mereka,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada Umno dijemput ke kongres berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PKR.

Saifuddin berkata, parti lain yang sudah mengesahkan kehadiran adalah rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, Amanah, dan Upko.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan mengikut perlembagaan parti, PKR perlu mengadakan kongres tahunan pada pertengahan tahun setiap tahun, namun oleh kerana PRN dijangka diadakan pada tempoh berkenaan, ia dianjak kepada akhir tahun ini.

“Perlembagaan PKR membolehkan kongres ditangguhkan sehingga 18 bulan jadi kita gantikan dengan kongres nasional khas kerana kita nak hadapi PRN di enam negeri, jadi kongres khas adalah kongres sehari khusus untuk kita salurkan tumpuan pimpinan dan anggota parti kepada persiapan PRN,” katanya.

Beliau berkata, kongres kali ini berbeza dengan sebelumnya kerana Presiden PKR Anwar Ibrahim bukan lagi berucap sebagai ketua pembangkang tetapi sebagai “orang nombor satu dalam pentadbiran kerajaan”.

“Jika dulu beliau mewakili suara pembangkang, tetapi kali ini ucapan presiden tertumpu kepada pelaksanaan dasar, bukan lagi desakan, teguran atau kritikan.”

Pemecatan Tian Chua

Sementara itu, ketika ditanya kes disiplin melibatkan pemecatan Tian Chua dan empat pemimpin PKR lain, Saifuddin berkata tiada sebarang keputusan dibawa oleh Lembaga Disiplin kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Buat masa sekarang Lembaga Disiplin belum mengangkat apa-apa keputusan kepada MPP.

“Saya percaya mereka sedang meneliti kes itu dan perkara berkenaan pasti akan sampai kepada MPP yang akan bermesyuarat esok (17 Mac),” katanya.

Sebelum ini, Tian Chua yang dipecat PKR kerana bertanding atas tiket bebas di Parlimen Batu pada PRU15 berharap Anwar memaafkannya dengan menggunakan kuasa sebagai presiden.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Rafizi Ramli menegur tindakan bekas naib presiden PKR itu yang menasihatkan Tian Chua supaya merayu pemecatannya kepada Lembaga Disiplin, bukan terus kepada presiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.