Peguam tarik balik rayuan minta RM12.5 juta yuran guaman daripada Bersatu

Peguam tarik balik rayuan minta RM12.5 juta yuran guaman daripada Bersatu

Rayuan itu sepatutnya didengar hari ini, dikosongkan selepas notis untuk tidak meneruskan difailkan minggu lalu.

Saman peguam Haniff Khatri Abdullah (kiri) terhadap Bersatu dan pemegang jawatannya, termasuk Muhyiddin Yassin, dijadual dibicarakan minggu depan.
KUALA LUMPUR:
Peguam Haniff Khatri Abdulla menarik balik rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi penghakiman ringkas berhubung tuntutan RM12.5 juta yuran guaman yang belum dijelaskan daripada Bersatu dan pemegang jawatannya.

Rayuan itu sepatutnya didengar hari ini namun dikosongkan selepas notis untuk tidak meneruskan rayuan difailkan minggu lalu.

Berikutan penarikan balik itu, rayuan telah dibatalkan oleh mahkamah mengikut Peraturan 9(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Kedua-dua, Haniff dan peguam Bersatu, Amiratu Al Amirat Saleh Garbaa mengesahkan perkara itu kepada FMT.

Permohonan penghakiman ringkasan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Julai tahun lepas, selepas Hakim Akhtar Tahir memutuskan Bersatu dan pemegang jawatannya mempunyai pembelaan boleh dipercayai terhadap tuntutan itu.

Akhtar berkata, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Bendahari Salleh Bajuri dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, dalam pembelaan menafikan melantik Haniff sebagai penasihat undang-undang kepada parti itu.

“Memandangkan tiada pelantikan bertulis, seperti diakui oleh plaintif (Haniff) sendiri, satu-satunya cara untuk membuktikannya adalah melalui keterangan Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz (Mahathir),” kata Akhtar dalam penghakimannya.

Hakim menyatakan Mahathir mahupun Mukhriz tidak memfailkan afidavit untuk menyokong pertikaian Haniff.

Mahathir adalah bekas pengerusi Bersatu manakala Mukhriz adalah timbalan presidennya.

Akhtar menambah, defendan mempunyai pembelaan boleh dipercayai yang perlu ditentukan dalam perbicaraan dan bukan melalui penghakiman ringkas.

Perbicaraan telah dijadualkan dari 20 hingga 24 Mac ini.

Haniff, dalam pernyataan tuntutannya, berkata invois firmanya telah dikeluarkan kepada Muhyiddin, Hamzah dan Salleh pada 2021.

Beliau berkata, saman itu difailkan hanya selepas mereka gagal menjawab peringatan supaya membayarnya.

Tambahnya, wang itu adalah untuk khidmat guaman diberikan sebelum Bersatu ditubuhkan sehingga ia menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH) pada awal 2020, dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Haniff, beliau mewakili parti dalam saman kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa terhadap perdana menteri ketika itu Najib Razak dan pentadbirannya sebelum PRU14 pada Mei 2018.

Kenyataan itu berkata, perkhidmatan Haniff berakhir pada 24 Feb 2020 berikutan “Langkah Sheraton”, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

Dalam pembelaan mereka, Bersatu dan pemegang jawatan berkata, mereka mahu saman peguam itu ditolak kerana tiada persetujuan antara mereka.

Mereka berkata, semua perkhidmatan diberikan Haniff kepada Mahathir dibuat secara sukarela dan tanpa mengharapkan bayaran.

Mereka juga berhujah jumlah dituntut juga melampau dan menyalahi undang-undang.

Mahathir, Mukhriz dan tiga Ahli Parlimen dipecat daripada Bersatu kerana enggan menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin pada 2020.

Mukhriz kini presiden Pejuang manakala Mahathir telah meninggalkan parti itu untuk menyertai Putra, parti pimpinan Ibrahim Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.