‘Jangan ulang kesilapan made in Bangladesh’, kata Ahli Parlimen PH

‘Jangan ulang kesilapan made in Bangladesh’, kata Ahli Parlimen PH

Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin turut mempersoalkan mengapa peruntukan bagi kempen beli barangan buatan Malaysia dikurangkan dari RM20 juta kepada RM10 juta.

Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin berkata kerajaan perlu mengambil iktibar dengan tindakan kerajaan sebelum ini yang mencetak baju Keluarga Malaysia di Bangladesh.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan digesa membelanjakan wang perolehan dengan membeli barangan buatan Malaysia bagi merancakkan aliran tunai dalam negara.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar dengan tindakan kerajaan sebelum ini yang mencetak baju Keluarga Malaysia di Bangladesh.

“Kempen beli barangan buatan Malaysia (diwujudkan) pertama kerana patriotik, kedua menghalang aliran tunai, supaya wang itu ada dalam negara kita.

“Saya nak kerajaan Madani hari ini ambil iktibar di mana kerajaan Keluarga Malaysia sebelum itu, yang mana baju-T Keluarga Malaysia yang diberikan kepada Ahli Parlimen adalah ‘made in’ (buatan) Bangladesh.

“Kita tak boleh ulangi kesilapan sebelum ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi perdana menteri sebelum ini.

Pada sidang Parlimen November 2021, Cha pernah membangkitkan kekecewaan apabila kerajaan membeli baju-T untuk mempromosikan konsep Keluarga Malaysia buatan Bangladesh.

Beliau tidak menentang mana-mana negara termasuk Bangladesh, tetapi produk itu sepatutnya dihasilkan penduduk tempatan untuk meningkatkan ekonomi mereka pada masa sukar ini.

Sementara itu, Cha turut mempersoalkan mengapa peruntukan bagi kempen beli barangan buatan Malaysia dikurangkan dari RM20 juta kepada RM10 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.