
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membebaskan Hussein Nasir, 54, selepas SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk lanjutan reman, lapor Utusan Malaysia.
Selasa lepas, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan agensi antirasuah tersebut untuk mereman ahli perniagaan itu hingga hari ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Hussein hadir di mahkamah hari ni sebagai formaliti, bagi membolehkan pihak SPRM memaklumkan tiada lanjutan reman, menurut peguamnya, Fahmi Abd Moin.
Bagaimanapun, lelaki itu kemudiannya ditahan untuk siasatan kes lain membabitkan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009, tambah Fahmi.
“Reman tidak disambung, pagi ini anak guam saya akan ke SPRM Kuala Lumpur bagi proses jaminan. Setakat ini, tiada maklumat bila akan dituduh di mahkamah,” katanya kepada wakil media.
“Anak guam saya kemudian akan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan pihak siasatan akan mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret esok.”
Dilaporkan pada Isnin lepas, Hussein, dipercayai menjadi perancang utama kes rasuah melibatkan program Jana Wibawa, ditahan SPRM selepas menyerah diri.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu atas kesalahan menerima rasuah.
Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.