
Timbalan menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, RUU itu dijangka dibentangkan untuk bacaan pertama tahun depan.
“Kementerian akan meneliti kesesuaian undang-undang untuk anak-anak yang tidak bertanggungjawab ke atas ibu bapa dalam akta tersebut bagi memastikan kesedaran masyarakat umum tentang kepentingan penjagaan warga emas terus meningkat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) tentang sama ada kementerian bercadang menggubal undang-undang membolehkan pemotongan gaji mandatori bagi anak yang menghantar ibu bapa ke rumah orang tua.
Aiman berkata, kementerian mengalu-alukan cadangan itu, khususnya bagi anak-anak yang mampu tetapi gagal menjalankan tanggungjawab menjaga ibu bapa.
Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak berkemampuan, Jabatan Kebajikan bawah kementerian menyediakan perkhidmatan percuma seperti Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan.
Pada Oktober 2021, Bernama melaporkan RUU Warga Emas dijadual dibentangkan di Parlimen pada 2022.