Putra nafi sertai PN atau berpakat

Putra nafi sertai PN atau berpakat

Penyertaan atau pakatan antara Putra dan PN bagi membentuk gabungan parti Melayu terbesar 'tidak berbangkit pada masa ini', kata setiausaha agung.

Laporan yang memetik sumber mendakwa Putra akan menyertai atau berpakat dengan PN adalah “amat tidak tepat”, kata setiausaha agung Putra.
PETALING JAYA:
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menafikan ia menyertai atau berpakat dengan Perikatan Nasional, susulan laporan mendakwa ada perbincangan ke arah perpaduan sebagai permulaan kebangkitan Melayu pada PRU16.

Setiausaha Agung Rosdi Idris berkata laporan yang memetik sumber itu “amat tidak tepat” dan tidak mencerminkan keputusan dewan tertinggi parti.

“Penyertaan atau pakatan bersama di antara Putra dengan PN dalam usaha membentuk gabungan kekuatan parti Melayu terbesar di negara ini adalah tidak berbangkit pada masa ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Putra yang disertai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dijangka dirombak dan dinamakan semula sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), dan ia akan bekerjasama dengan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Rosdi Idris.

Menurut sumber, perbincangan antara Mahathir dan pemimpin kanan PN, Hadi Awang, dalam suatu pertemuan tertutup baru-baru ini adalah “ke arah perpaduan antara GTA dan PN”.

Rosdi dalam penafiannya memaklumkan bahawa isu penukaran nama Putra kepada GTA tidak pernah disentuh dalam mesyuarat dewan tertinggi parti setakat ini.

Beliau berkata segala keputusan hanya akan diketahui selepas persidangan agung tahunan Putra yang dijangka berlangsung pada 7 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.