Pengimport telur guna nama PMO untuk tutup mulut saya, kata Wee

Pengimport telur guna nama PMO untuk tutup mulut saya, kata Wee

Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata beliau tidak gentar kerana sekadar menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Wee Ka Siong menunjukkan telur ayam diimport dari India, telur tempatan dan telur omega untuk perbandingan saiz serta harga di Dewan Rakyat pada 22 Feb lalu. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong mendedahkan beliau diminta menarik balik kenyataan di Dewan Rakyat berhubung pengimportan telur ayam dari India.

Wee berkata, beliau menerima panggilan telefon dari seorang individu mendakwa wakil J&E Advance Tech Sdn Bhd, yang dikatakan pengimport tunggal telur ayam dari India.

Individu itu didakwa memberitahu Wee bahawa beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan presiden MCA itu patut mengeluarkan kenyataan serta menyelesaikan perkara itu “di luar mahkamah”.

Pemanggil itu turut memaklumkan Wee, beliau sudah mengarahkan peguamnya mendapatkan writ saman daripada mahkamah.

“Datuk speaker, saya rasa dalam kes ini, kita kena ambil berat. Apa (guna) nama PMO ini saya tak faham.

“Saya rasa ini bukan arahan daripada perdana menteri, ini orang pakai nama PMO. Ini yang jadi satu penyakit. Jadi, saya rasa ia tak sepatutnya berlaku.

“Saya tidak rela diperkotak-katikkan sebagai bidak-bidak catur pada mana-mana syarikat yang mahu saya buat ‘statement’. Tak boleh sebab saya cuma sebagai jurucakap kepada rakyat…ini masalah yang penting.

“Untuk Ahli Parlimen di belah sana dan sini, kita kena ada satu prinsip, kita sebagai jurucakap rakyat tidak boleh diugut dengan apa cara sekalipun,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023.

Wakil rakyat Barisan Nasional tersebut mengakui terkejut dengan panggilan telefon itu kerana beliau tidak menamakan syarikat berkenaan atau pemiliknya ketika membahaskan isu itu di Dewan Rakyat.

“Saya sekadar jurucakap rakyat dalam isu bekalan telur. Saya tiada motif tersembunyi atau kepentingan peribadi dalam isu ini.”

Wee berkata, beliau turut membincangkan isu bekalan telur dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di rumahnya pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina.

R Ramanan (PH-Sungai Buloh) kemudian mencelah dengan berkata, panggilan telefon itu “tidak beretika dan satu bentuk intimidasi”.

“Kalau kita terus bagi orang gunakan nama PMO ataupun PM macam ini, dia akan buatkan kita dalam situasi di mana semua nanti ada orang guna nama YB,” kata Ahli Parlimen PKR itu.

Wee menerima dua surat tuntutan daripada J&E atas kenyataannya berhubung pengimportan telur.

Surat pertama pada 23 Feb lalu menyatakan syarikat itu mengalami kerugian dan reputasinya terjejas akibat “kenyataan tidak wajar” Wee.

Peguam syarikat itu dalam surat kedua berkata, perniagaan terjejas secara tidak langsung kerana kenyataan wee menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna berhubung kualiti telur berkenaan.

Wee menerusi catatan di Facebook pada 9 Jan lalu berkata, telur ayam diimport dari India akan mengambil tiga hingga empat minggu sampai ke Pelabuhan Klang melalui laut.

Beliau sering membangkitkan isu bekalan telur ayam di Dewan Rakyat. Pada 22 Feb lalu, Wee mencuri tumpuan Dewan Rakyat dengan membawa tiga biji telur bagi menyokong hujahnya mengenai pengimportan telur.

Beliau menunjukkan telur diimport dari India, telur tempatan dan telur omega untuk membandingkan saiz serta harganya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.