KPM belum bercadang kembalikan sesi persekolahan bermula Januari

KPM belum bercadang kembalikan sesi persekolahan bermula Januari

Sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada Mac.

Sesi persekolahan berubah susulan penularan Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, bermula dengan takwim 2022/2023.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan belum bercadang kembalikan sesi persekolahan bermula Januari seperti sebelum pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Pendidikan Pkharuddin Ghazali.

Sebelum ini, sesi persekolahan berubah susulan penularan Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, bermula dengan takwim 2022/2023.

Sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi Kedah, Johor, Kelantan, dan Terengganu; manakala negeri dan wilayah lain akan bermula pada 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah sedemikian tidak akan dibuat dalam masa terdekat, kerana perlu mengambil kira beberapa perkara antaranya kitaran kanak-kanak yang belum habis dan bilangan hari persekolahan bawah Akta Pendidikan.

Katanya, perubahan semula takwim persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat, banjir hujung tahun, dan jadual peperiksaan.

Dalam pada itu, Pkharuddin juga mengumumkan tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024.

Sebaliknya, ia akan diisi dengan penerapan nilai jasmani, intelek, emosi, sosial, dan rohani bagi membentuk pelajar yang beradab, berakhlak, dan berintegriti, katanya lapor Bernama.

Beliau berkata pendidikan didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah juga akan dilaksanakan pada sesi 2023/2024.

Sekolah juga diminta merapatkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa, dan komuniti bagi membangkitkan semangat saling menyokong di awal persekolahan.

Dalam pada itu, sebarang bentuk pertandingan, sambutan, dan majlis yang tidak memberi impak besar dimansuhkan sebagai inisiatif menangani isu beban tugas guru, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.