Giat usaha banteras permintaan haiwan liar dalam talian, gesa NGO

Giat usaha banteras permintaan haiwan liar dalam talian, gesa NGO

Usaha penguatkuasaan tertumpu kepada pemburu haram dan peniaga kerana masih sukar mengesan pembeli hidupan liar terancam dalam talian.

NGO telah meminta agar diberikan penekanan yang lebih terhadap pembeli hidupan liar terancam. (gambar AFP)
PETALING JAYA:
Dua NGO menggesa usaha digiatkan untuk menangani permintaan terhadap hidupan liar terancam yang dijual melalui platform dalam talian.

Mereka berkata penguatkuasaan terhadap pemburu haram dan penjual hanyalah sebahagian usaha memerangi kegiatan itu.

Pengarah Traffic Southeast Asia Kanitha Krishnasamy berkata, ramai gagal menyedari masalah itu bukan sahaja berpunca daripada peniaga dan pemburu tetapi juga pembeli.

Kanitha berkata, walaupun mereka yang membeli spesies terancam atau bahagian dan produk tanpa permit sah boleh ditangkap atas kesalahan pemilikan haram, masih sukar untuk mengesan semua pihak yang terlibat dalam keseluruhan rantaian pemerdagangan, sebahagian besarnya disebabkan oleh kerahsiaan dalam internet.

“Perlu ada akibat terhadap mereka yang membeli produk (hidupan liar) secara haram,” katanya kepada FMT.

Pesalah yang didapati mengimport dan mengeksport spesies yang dilindungi sepenuhnya, seperti harimau Malaya dan tenggiling, tanpa permit yang sah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta dan penjara tidak lebih 15 tahun.

Mereka yang didapati bersalah memperdagangkan spesies dilindungi dalam talian, seperti tapir dan siamang Malaya, tanpa permit yang sah pula berdepan denda tidak kurang RM50,000 dan penjara sehingga 15 tahun.

Kanitha berkata, walaupun mereka yang membeli spesies terancam atau bahagian dan produk tanpa permit yang sah boleh ditangkap atas pemilikan haram, mereka masih sukar dijejaki disebabkan cara internet berfungsi.

Berdasarkan rekod rasmi, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangani 443 kes membabitkan pemerdagangan haram hidupan liar di platform dalam talian dari 2020 sehingga kini.

Pengarah projek Justice for Wildlife Malaysia, Nor Arlina Amirah Ahmad Ghani, juga berkata menyekat permintaan boleh mencegah kegiatan pemburuan haram dan pemerdagangan hidupan liar.

Arlina, yang membantu pendakwa menambah baik kaedah penyiasatan dan kertas kerja dalam kes berkaitan hidupan liar, berkata pihak berkuasa kini mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan jenayah berkaitan hidupan liar tetapi menyatakan, tindakan seperti itu tidak boleh terus diambil.

“Pada penghujung hari, anda tidak mahu terus menghukum orang. Anda mahu orang berhenti membeli hidupan liar dan menghentikan jenayah dari mula.

“Mudah-mudahan dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kita dapat gambaran yang lebih besar tentang mengapa permintaan (untuk hidupan liar) wujud,” katanya.

Arlina berkata, memandangkan pihak berkuasa dan NGO terus mengumpul maklumat dan data mengenai pemerdagangan haram hidupan liar dalam talian, mereka boleh menentukan dengan lebih baik langkah-langkah yang diperlukan untuk mencegah jenayah dan sama ada usaha perlu dialihkan kepada mengurangkan permintaan.

Penguatkuasaan dan pendakwaan

Arlina berkata, Malaysia tidak mempunyai “garis dasar” untuk kes jenayah hidupan liar di mahkamah, menyukarkan usaha mengukur sama ada campur tangan oleh pihak berkuasa berkesan.

Katanya, pertubuhannya sedang mengusahakan pangkalan data untuk menjejaki kes jenayah hidupan liar yang dibawa ke mahkamah, serta pendakwaan dan hukuman yang terlibat.

“Sebaik sahaja kami dapat garis dasar, maka kami ada sesuatu untuk hakim, pendakwa raya dan semua orang untuk digunakan bagi mengukur campur tangan kami,” katanya.

Beliau berkata, semasa sesi libat urus antara badan kehakiman dengan Justice for Wildlife Malaysia, hakim menegaskan bahawa jenayah hidupan liar diutamakan tetapi mereka hanya boleh membuat keputusan bagi kes yang dikemukakan kepada mereka.

Arlina juga berkata, penguatkuasaan di lapangan mesti menjadi pelengkap kepada pendakwaan bagi mengukuhkan kes yang dikemukakan di mahkamah dan memastikan pesalah didakwa dan menerima hukuman setimpal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.