Anwar cadang tender tanpa nama untuk jamin ketelusan

Anwar cadang tender tanpa nama untuk jamin ketelusan

Perdana menteri berkata kaedah itu dapat menjamin tender diberikan kepada syarikat berkemampuan untuk melaksanakan projek.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau turut memberitahu jawatankuasa tender supaya menjadikan amalan itu sebagai panduan dalam memberikan tender pada masa depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan proses tender tanpa nama untuk projek mega bakal dilaksanakan kerajaan pada masa depan bagi memastikan ketelusan.

Beliau berkata, kaedah itu dapat menjamin tender diberikan kepada syarikat berkemampuan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Katanya, perkara itu dicadangkan olehnya dalam mesyuarat jawatankuasa tender hari ini.

“Dengan ini, segala keputusan akan dibuat secara telus, berdasarkan kemampuan, rekod keupayaan serta keupayaan kewangan syarikat terlibat.

“Kami akan membuat keputusan tanpa pengetahuan siapa yang mendapat perolehan tender projek itu,” katanya dalam majlis makan malam ulang tahun Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) ke-50.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, beliau turut memberitahu jawatankuasa berkenaan supaya mengaplikasikan amalan itu sebagai panduan dalam memberikan tender pada masa depan.

Pada November lalu, Anwar menegaskan supaya tatakelola pentadbiran kerajaan baharu tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender dalam usaha membendung rasuah dan ketirisan.

Katanya, kerajaan perpaduan pimpinannya tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.