
Ng Shih Fang, 47, dan abangnya, Shih Chiow, 50, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Mereka dituduh dengan curang menyebabkan pegawai CIMB Bank dikenali sebagai Lee Pei Yee melupuskan Toyota Vellfire, aset milik Revenue Group, tanpa kelulusan lembaga pengarah syarikat.
Pemilikan kereta itu didakwa dipindahkan kepada Shih Fang.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Genting Kelang di Setapak, pada 3 Okt 2018.
Mereka dibenar ikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Adik-beradik itu diwakili oleh Amer Hamzah Arshad dan Dzulkifli Ahmad, yang juga bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How menjalankan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 14 Apr untuk sebutan semula kes.
Pada Januari, The Edge melaporkan Revenue Group telah memulakan tindakan undang-undang terhadap adik-beradik itu kerana melanggar keperluan penyenaraian Bursa Malaysia berhubung laporan suku tahunan kumpulan yang belum diaudit.
Pada bulan sama, syarikat itu menggantung kedua-duanya daripada fungsi eksekutif mereka.
Menurut laman web syarikat itu, Shih Chiow adalah ketua pegawai operasinya, manakala Shih Fang pula ketua pegawai teknologi. Mereka juga merupakan pengarah eksekutif.