Kutipan cukai 10% barangan bernilai rendah ditangguh

Kutipan cukai 10% barangan bernilai rendah ditangguh

Jabatan Kastam berkata, tarikh pelaksanaan akan ditentukan kelak.

Cukai ke atas barangan bernilai rendah sepatutnya dilaksanakan mulai 1 April ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai jualan 10% ke atas barangan bernilai rendah (LVG) yang sepatutnya berkuat kuasa 1 April ini.

Jabatan Kastam dalam pengumuman di laman sesawangnya berkata, pelaksanaan cukai itu ditangguhkan “ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak”.

Cukai jualan 10% itu dijadualkan dikenakan ke atas barangan yang dibeli dalam talian dan dihantar ke Malaysia oleh vendor berdaftar dengan Kementerian Kewangan. Ia terpakai untuk barangan berharga RM500 ke bawah.

Keputusan pelaksanaan cukai itu menyusul Rang Undang-undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Bekas timbalan menteri kewangan, Shahar Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan dijangka mengutip RM200 juta setahun daripada pelaksanaan cukai itu.

Katanya, cukai itu akan menyamakan kedudukan penjual dalam talian di dalam dan luar Malaysia, yang akan memperkasakan pasaran tempatan serta ahli perniagaan.

Cukai itu julung kali dikemukakan bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.