
Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri sedang melihat kos keseluruhan pembinaan KSSA, dan kawasan yang dipilih perlulah sama nilai dengan kos keseluruhan kompleks itu.
“Setiausaha kerajaan negeri (Haris Kasim) ada berjumpa pihak terbabit berhubung pemilihan tanah untuk kita gantikan serta penelitian kos (pembinaan KSSA). Jadi saya ingat sekitar April atau selepas hari raya, kita akan isytihar di mana tapak (untuk pertukaran tanah) dan kos keseluruhan berkenaan susun atur dan pelan projek ini,” katanya di Dewan Negeri Selangor.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Azmin Ali (Bersatu-Bukit Antarabangsa) sama ada kawasan di Pulau Carey, Kuala Langat termasuk dalam penelitian kerajaan negeri untuk dilakukan pertukaran tanah bagi membiayai KSSA.
Amirudin berkata kawasan Pulau Carey tidak termasuk dalam senarai berkenaan, kerana kerajaan negeri ingin menumpukan kawasan itu bagi pembinaan pelabuhan ketiga di Selangor dan projek Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).
“Kita hanya ada sekitar 404.69 hektar tanah milik Yayasan Selangor (di Pulau Carey) dan nilai itu (untuk pertukaran tanah) tidak mencukupi,” kata Amirudin.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pameran KSSA anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor bulan lalu menerima puluhan ribu pandangan serta cadangan sepanjang penganjuran pameran dari 26 Jan hingga 10 Feb lalu.
“Secara asas, 50% kawasan akan dibangunkan dengan kemudahan sukan, 30% dijadikan taman dan kawasan hijau dan selebihnya untuk utiliti dan komersial yang diurus kerajaan negeri.
“Kita sedang bincang dan lihat kos keseluruhan termasuk pertukaran tanah kerana tidak mahu kacau tanah berhampiran. Mulai April, kebenaran merancang boleh dihantar untuk kita mulakan proses pembinaan,” katanya.