Kerajaan perhalusi kaedah baharu ukur garis kemiskinan

Kerajaan perhalusi kaedah baharu ukur garis kemiskinan

Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas, Armizan Ali berkata Kementerian Ekonomi sedang mengkajinya bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Setakat 28 Feb, eKasih merekodkan seramai 427,213 ketua isi rumah (KIR), dengan 124,519 KIR dalam kategori miskin tegar dan 302,694 KIR pula di bawah kategori miskin.
PETALING JAYA:
Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang mengkaji kaedah pengukuran baharu bagi menggantikan pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang mengukur kemiskinan mutlak, ketika ini.

Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas, Armizan Ali berkata bagaimanapun kaedah pengukuran baharu perlu diperhalusi dan diteliti sebaiknya dengan mengambil kira ketersediaan dan kebolehlaksanaan di peringkat lapangan.

Katanya, setakat 28 Feb, eKasih merekodkan seramai 427,213 ketua isi rumah (KIR), dengan 124,519 KIR adalah di bawah kategori miskin tegar dan 302,694 KIR pula di bawah kategori miskin.

“Data ini adalah bersifat dinamik dan berubah dari semasa ke semasa.

“Bagi membasmi kemiskinan dan menyediakan taraf hidup yang wajar kepada kumpulan sasar ini, kerajaan komited dalam melaksanakan program pembasmian kemiskinan terutamanya dalam mencapai sifar miskin tegar pada 2025,” katanya menerusi jawapan dimuatnaik di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang meminta kerajaan menyatakan proses pemulihan kesejahteraan KIR dalam kelompok miskin dan miskin tegar menerusi data eKasih dan adakah kerajaan bersedia mengubah definisi kadar garis kemiskinan mengikut tahap ekonomi semasa.

Dalam pada itu, Armizan berkata bagi menyediakan golongan miskin berdepan risiko tidak dijangka serta memastikan kebajikan mereka terus terpelihara, pelan perlindungan insurans yang dikenali sebagai Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) telah diperluaskan kepada semua KIR miskin tegar dan miskin seluruh negara.

“Manfaat yang akan diterima sekiranya KIR meninggal dunia secara semulajadi adalah sebanyak RM10,000.

“Manakala sekiranya KIR meninggal dunia akibat kemalangan, waris akan menerima RM25,000 dan bagi KIR yang mengalami kecacatan kekal (pelbagai punca) akan menerima RM10,000,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.