KDN rampas alat mainan seks RM1.1 juta

KDN rampas alat mainan seks RM1.1 juta

Serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu turut menahan seorang wanita berusia 29 tahun.

Kes rampasan pelbagai alat mainan seks itu disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan iaitu mengedar atau menjual barang lucah. (Gambar KDN)
BUTTERWORTH:
Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 22,926 pelbagai alat mainan seks bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Bukit Mertajam, dekat sini pada 15 Feb lalu.

Setiausaha Bahagian PKK KDN, Nik Yusaimi Yussof, berkata pihaknya menjalankan serbuan menerusi Ops Maya di gudang itu pada 12 tengah hari, hasil risikan dan intipan yang dijalankan penguatkuasanya sejak beberapa minggu sebelum itu.

“Semasa serbuan itu, terdapat seorang wanita berusia 29 tahun yang mengaku semua alat mainan seks di gudang berkenaan adalah untuk perniagaannya yang dijalankan sejak tahun lepas, dan kami telah menahannya bagi membantu siasatan kes itu.

“Dalam serbuan itu, kami merampas patung seks, pelbagai alat kemaluan lelaki dan wanita, vibrator, serta lain-lain alat mainan seks yang dilarang di negara ini. Berdasarkan siasatan, semua alat seks mainan tersebut dibawa masuk dari China,” katanya pada sidang media.

Nik Yusaimi berkata, semua alat mainan seks yang dirampas itu untuk jualan dalam talian terutama platform e-dagang dengan harga antara RM70 hingga RM450 mengikut jenis alat.

“Wanita itu dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga dua kali ganda daripada nilai barangan berkenaan, dan kami percaya terdapat beberapa premis lain di negeri ini turut menjalankan kegiatan menjual alat mainan seks secara dalam talian, namun bukan secara terus di kedai,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan iaitu mengedar atau menjual barang lucah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.