Dedah fail demi kepentingan awam, bukan untuk kelebihan politik, Hamzah diberitahu

Dedah fail demi kepentingan awam, bukan untuk kelebihan politik, Hamzah diberitahu

Rafizi Ramli berkata, beliau tidak terganggu dengan dakwaan ketua pembangkang itu mempunyai 'fail' berhubung salah laku pemimpin kerajaan semasa.

Rafizi Ramli (kiri) memberitahu Hamzah Zainudin, rakyat boleh membezakan pendedahan yang dibuat untuk kepentingan awam dan kelebihan politik.
KUALA LUMPUR:
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli “menasihatkan” ketua pembangkang, Hamzah Zainudin supaya memastikan beliau mendedahkan maklumat yang didakwa ada kaitan salah laku pemimpin kerajaan atas alasan betul.

“Jika mereka ingin melakukan pendedahan, pastikan ia demi kepentingan awam, bukannya untuk mendapat kelebihan politik kerana orang ramai lebih bijak.”

Katanya, beliau tidak terganggu dengan dakwaan Hamzah mempunyai “fail” berhubung salah laku pemimpin kerajaan semasa.

Timbalan presiden PKR itu bagaimanapun meragui Hamzah bersedia mendedahkan maklumat yang didakwa dimilikinya dan menyifatkan kenyataannya sekadar retorik.

“Jika ia adalah skandal besar, saya tak fikir anda memerlukan dokumen OSA (Akta Rahsia Rasmi) untuk mendedahkannya.

“Jika ada skandal besar membabitkan sesiapa, maklumat dan dokumen itu akan bocor dan ada pada media sekarang. Kita hidup dalam era anda tidak boleh menyembunyikan perkara seperti ini.”

Ahad lalu, Malaysiakini memetik Hamzah memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak mencari salah Perikatan Nasional memandangkan beliau boleh berbuat demikian kerana mempunyai “banyak fail berkenaan mereka juga” ketika menjadi menteri dalam negeri.

Beliau berkata, terpulang kepadanya sama ada mahu menggunakan fail itu terhadap mereka.

Peguam dan penyokong kerajaan kemudiannya mengingatkan pemimpin Bersatu itu bahawa ia merupakan kesalahan menyimpan maklumat salah laku pemimpin kerajaan. Mereka mempersoalkan kenapa beliau tidak bertindak ketika menjadi menteri dalam negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.