Pembantu Anwar buat laporan polis terhadap Muhyiddin

Pembantu Anwar buat laporan polis terhadap Muhyiddin

Laporan polis itu dibuat setiausaha politik Anwar, Muhammad Kamil Abdul Munim petang tadi.

Muhyiddin Yassin berdepan tujuh pertuduhan rasuah berhubung program Jana Wibawa.
PETALING JAYA:
Seorang pembantu Anwar Ibrahim membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan menggunakan agensi penguat kuasa untuk melakukan pendakwaan terpilih terhadapnya.

Laporan polis itu dibuat Muhammad Kamil Abdul Munim, setiausaha politik Anwar atas kapasitinya sebagai menteri kewangan, di IPD Presint 7, Putrajaya, petang tadi.

Kamil dalam laporan polis itu berkata, kenyataan bekas perdana menteri terbabit merupakan tohmahan jahat, menghina dan berunsur fitnah dengan niat mewujudkan persepsi salah terhadap integriti agensi penguat kuasa serta badan pendakwaan.

Katanya, ia juga berniat merosakkan imej Anwar sebagai perdana menteri kerana menuduh pendakwaan terhadapnya diarahkan “pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara”.

“(Ia) menggambarkan agensi penguat kuasa seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Jabatan Peguam Negara tidak bebas dan berintegriti dalam melaksanakan tugas menyiasat dan mendakwa (menyebabkan) wujudnya pendakwaan terpilih, bermotif politik dan penganiayaan.”

Beliau berkata, SPRM dan Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan Jumaat lalu menjelaskan siasatan serta pendakwaan itu dijalankan dengan penuh integriti, bukan atas desakan mana-mana pihak atau faktor lain.

Jumaat lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.

Pagi tadi, Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa atas satu lagi tuduhan pengubahan wang di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Sementara itu, Ketua Polis Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz, berkata satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Katanya, siasatan awal mendapati video berdurasi lebih kurang 11 minit 11 saat itu dimuat naik di Facebook sebuah portal berita yang dikatakan mempunyai unsur fitnah terhadap pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara.

“Polis menggesa orang ramai lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketidakharmonian,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.