
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh memberitahu Dewan Rakyat, pegawai berkenaan perlu membuat laporan kepada polis atau SPRM.
“Ia amalan biasa,” katanya ketika menggulung anggaran belanjawan kementerian itu.
Beliau menyifatkan dakwaan Hamzah itu serius dan memerlukan perhatian.
Ramkarpal berkata demikian susulan pertanyaan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) sama ada pegawai SPRM mempunyai kuasa membuat laporan terhadap Bersatu.
Hamzah ialah setiausaha agung Bersatu dan ketua pembangkang.
Semalam, Hamzah dilaporkan memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak mencari salah Perikatan Nasional memandangkan beliau juga boleh berbuat demikian kerana mempunyai “banyak fail berkenaan mereka juga” ketika menjadi menteri dalam negeri.
Beliau dipetik Malaysiakini berkata, terpulang kepadanya sama ada mahu menggunakan fail itu terhadap mereka.
SPRM semak langkah pengawasan Parlimen
Ramkarpal berkata, SPRM sedang meneliti mekanisme untuk pelantikan ketua pesuruhjayanya, jika agensi antirasuah itu diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen.
Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Akautan Negara dan Jabatan Peguam Negara terbabit dalam semakan itu.
Katanya, sebarang perubahan terhadap pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM memerlukan pindaan Akta SPRM dan Perlembagaan.
Ramkarpal menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN – Pasir Mas) sama ada SPRM akan diletakkan di bawah pengawasan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan agensi itu oleh kerajaan terhadap pembangkang.
Awal bulan ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, beliau terbuka dengan cadangan pelantikan ketua mahupun pegawai kanan agensi itu diletakkan di bawah Parlimen.
Siasatan Mitra diteruskan
Ramkarpal berkata, siasatan ke atas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) diteruskan dan arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya dinantikan berhubung beberapa kertas siasatan ke atas penyelewengan dana itu.
Dalam pada itu, M Kula Segaran (PH – Ipoh Barat) menggesa kerajaan meneliti tuntutan supaya pemimpin dan ahli daripada “sebuah parti politik” disiasat.
“Kami lihat seorang atau dua individu dihadapkan ke mahkamah, tetapi dalang utama masih bebas di luar.”