Mana reformasi, kerajaan disoal selepas polis siasat himpunan wanita

Mana reformasi, kerajaan disoal selepas polis siasat himpunan wanita

Enam peserta Women’s March Malaysia dipanggil polis untuk memberi keterangan.

Peguam bersama anak guam mereka yang memberi keterangan di IPD Dang Wangi hari ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam membidas kerajaan selepas polis memanggil beberapa peserta himpunan wanita di depan Sogo dan Dataran Merdeka semalam.

Zaid Malek menegaskan setiap orang patut mempunyai hak berhimpun secara aman selaras Perlembagaan Persekutuan.

“(Pakatan Harapan pimpinan) Anwar Ibrahim masuk (kerajaan) dengan janji reformasi, tetapi mana janji-janji itu?” katanya di luar IPD Dang Wangi.

Beliau berkata, ini perhimpunan aman kedua disiasat polis dalam tempoh dua hari dan kerajaan mendiamkan diri.

Terdahulu, enam peserta Women’s March Malaysia memberi keterangan kepada polis.

Kirath KS, 36, mendakwa kumpulan itu sudah memberikan notis kepada polis berhubung perhimpunan itu.

“Ia adalah protes aman di mana orang ramai bercakap mengenai isu wanita yang penting kepada mereka. Daripada mendengar apa yang dikatakan mereka, kami sedang disiasat dan menjadi takut.”

Seorang lagi peguam, Rajesh Nagarajan menyifatkan beliau “benar-benar berang” kerana anak guamnya, yang juga peguam, dipanggil polis untuk memberi keterangan.

Beliau menggesa Majlis Peguam bersuara kerana sudah membuat laporan mengenai isu itu kepada Majlis Peguam Selangor.

“Saya akan menghubungi Majlis Peguam Malaysia. Tidak betul untuk mengheret peguam ke balai polis,” katanya yang mendakwa anak guamnya sekadar memantau perhimpunan itu.

Semalam, Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya dilaporkan berkata, kertas siasatan dibuka berhubung perhimpunan itu yang membabitkan 150 orang, termasuk aktivis hak asasi manusia, pelajar universiti dan ahli parti politik.

Katanya, perhimpunan itu tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman serta Akta Kesalahan Kecil.

Peserta berhimpun sambil memegang plakad dengan slogan seperti “Imagine if men are as disgusted with rapes as with periods”, “Child not bride”, “Transwomen are women” dan “Police your behaviour, not my body”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.