
Hakim Siti Fatimah Talib turut memerintahkan Hafidz Roshdi, 29, membayar ikat jamin berjumlah RM4,000 dan menjalani penilaian psikiatri selepas dia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan kepada pasangannya dengan sengaja.
Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 yang dibaca bersama Seksyen 26A Kanun Keseksaan.
Seksyen 326A menggandakan hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah bawah Seksyen 323 jika kesalahan dibuat terhadap pasangan, anak, ahli keluarga atau orang dewasa yang kurang upaya.
Akibatnya, pesalah boleh dikenakan hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda maksimum RM4,000.
Hafidz turut diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai, sebagai syarat ikat jamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan seterusnya pada 9 Jun ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah supaya tertuduh dihantar menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.
Nurul Qistini yang dibantu Elyza Amira Habeeb Rahman turut menggesa mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000.
Peguam Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Hafidz, memohon ikat jamin kurang RM5,000 selepas memberitahu mahkamah anak guamnya mengalami gangguan bipolar.
Menurut kertas tuduhan, pelakon itu didakwa menumbuk isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, sebanyak tiga kali berdekatan Plaza Tol Sungai Buaya pada 3.22 pagi, 2 Mac, sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Hafidz ditahan pada 12 tengah hari, 4 Mac dan dibebaskan dengan ikat jamin pada hari yang sama.
Pasangan itu kini dalam proses perceraian, dengan kes dijadualkan disebut di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 21 Mac.