Kumpulan hak asasi desak Saifuddin digugurkan

Kumpulan hak asasi desak Saifuddin digugurkan

Malaysia perlu menteri dalam negeri yang menghormati hak asasi manusia dan menegakkan keadilan, kata Madpet.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail gagal memahami keperluan Sosma untuk dimansuhkan segera, kata Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet).
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan hak asasi manusia menggesa Saifuddin Nasution Ismail digugurkan daripada portfolio keselamatan dalam negeri, kerana jawatan itu perlu digalas seseorang yang menghormati hak asasi manusia dan mahu menegakkan keadilan.

Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) merujuk kenyataan Saifuddin yang dilaporkan bahawa 401 orang dihukum mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, pada 2022.

Saifuddin juga berkata, daripada 624 orang ditahan bawah Sosma tahun lalu, seramai 140 dibebaskan, 71 didakwa di mahkamah, dan 12 masih disiasat.

Jurucakap Madpet Charles Hector berkata, undang-undang itu tidak boleh digunakan untuk menghukum sesiapa melainkan mereka didakwa, diberi perbicaraan, didapati bersalah oleh mahkamah, dan dijatuhi hukuman.

“Hukuman (oleh mahkamah) satu-satunya tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang. Penangkapan dan penahanan sebelum sabitan tidak boleh disalah guna untuk menghukum sesiapa,” katanya dalam kenyataan.

“Sosma bukanlah undang-undang penahanan tanpa perbicaraan. Penahanan selepas tangkapan tanpa perbicaraan hanya bagi tujuan penyiasatan. Polis tidak boleh menggunakan penahanan, walaupun bawah Sosma, bagi tujuan ‘menghukum’ mana-mana orang.”

Beliau turut mengulangi gesaan agar Sosma dimansuhkan, walaupun Saifuddin menegaskan undang-undang itu diperlukan. Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjanjikan pemansuhan Sosma dalam manifesto pilihan rayanya.

Terdapat undang-undang lain sedia ada yang boleh digunakan polis, katanya, memandangkan Sosma membenarkan polis menahan seseorang sehingga 28 hari tanpa arahan majistret. Perkara ini bercanggah dengan Perlembagaan, tambahnya.

“Sayangnya, menteri dalam negeri dan kerajaan kita sekarang gagal memahami keperluan Sosma dimansuhkan segera, walaupun dengan gesaan Badan Peguam, Suhakam, masyarakat sivil, dan rakyat yang cintakan keadilan.

“Saifuddin, setiausaha agung PKR dan PH, mungkin seorang Ahli Parlimen dan ahli politik yang bagus, tetapi bagi Madpet, beliau tidak layak untuk kekal sebagai menteri dalam negeri.

“Madpet menyeru agar menteri itu meletak jawatan atau, sebagai alternatif, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecatnya sebagai menteri dalam negeri atau daripada Jemaah Menteri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.