
Shahrir berkata, setiap bahagian masih mempunyai tempoh hingga esok untuk mengemukakan bantahan terhadap keputusan pemilihan yang berlangsung Sabtu lalu.
Beliau mengulas dakwaan Nurulhidayah Ahmad Zahid wujud pelanggaran etika iaitu pengaruh tidak wajar dalam pemilihan ketua Wanita Umno Bagan Datuk yang menyaksikan beliau tewas.
“Ia bergantung kepada jenis bantahan, kalau bantahan itu terhadap individu, tindakan akan diambil terhadap individu. Jika bantahan terhadap proses, contohnya proses pemilihan ada masalah… itu akan diambil tindakan terhadap bantahan.
“Kita akan bermesyuarat tentang ini untuk melihat kepada bantahan yang diterima dan esok masih lagi terbuka untuk bantahan jadi Rabu atau Khamis kita akan buat keputusan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn.
Semalam, Nurulhidayah yang juga anak kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesalahan membabitkan Perkara 4, Tataetika Pemilihan Umno 2023, melibatkan penyandang ketua Wanita Umno Bagan Datuk Zarozatin Isa.
Sambil menegaskan perjuangan beliau masih belum tamat, Nurulhidayah mendedahkan di Facebook tangkap layar perbualan di WhatsApp untuk menyokong dakwaannya.
Ia mengandungi ayat berbentuk arahan, meminta supaya perwakilan menyokong Zarozatin.
Pada pemilihan itu, Nurulhidayah tewas kepada Zarozatin. Namun beliau menang kerusi exco Wanita Umno pusat.
Mengulas bahagian yang ditangguhkan pemilihan pada sesi kali ini, Shahrir berkata setakat ini satu bahagian iaitu Kuala Kedah ditangguhkan di peringkat Wanita, sementara Pemuda melibatkan Titiwangsa dan Semporna kerana terdapat bantahan semasa proses pemilihan.
“Manakala Tanah Merah dan Kota Kinabalu tidak terlibat dalam pemilihan bagi semua sayap kerana digantung sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, pihak JPU menerima bantahan daripada beberapa bahagian sayap Wanita termasuk Kulim Bandar Baharu, Pekan, Pasir Salak, Sungai Besar, Rompin, dan ia masih dalam siasatan.
Di peringkat Pemuda, katanya, terdapat bantahan dari Sekijang, Langkawi, Kuala Kurau, Batu Kawan, dan Temerloh, malah dijangka ada lagi bantahan daripada peringkat sayap bahagian.
Pemilihan Umno bagi sesi 2023-2026 melibatkan 164,000 perwakilan, yang mana pemilihan barisan exco Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat pusat diadakan Sabtu lalu sementara pengundian bagi jawatankuasa Umno Bahagian serta ahli Majlis Kerja Tertinggi pada 18 Mac ini.