
Platform dibangunkan anak Malaysia berkelulusan Matematik itu mendapat tempat di pentas antarabangsa dan menarik pelaburan RM12.5 juta selepas setahun dilancarkan.
Aplikasi menayangkan rancangan berunsur keislaman untuk kanak-kanak itu berjaya menggamit pelanggan dari luar negara, antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, dan Arab Saudi.
Pengasasnya Sinan Ismail, 41, juga mampu tersenyum kerana produknya turut menerima pelaburan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Singapura, Ireland, Turki, Luxembourg, dan Bahrain, membuktikan keyakinan terhadap produk tempatan.

Menariknya kesemua itu dicapai tanpa pemasaran besar-besaran oleh Sinan, yang sebelum ini mencipta nama dengan mengasaskan siri animasi terkenal, Didi & Friends dan Omar & Hana menerusi syarikat Digital Durian.
“Kita belum buat pemasaran lagi (selepas dilancarkan Februari tahun lepas), macam mana mereka (pelanggan) kenal (Durioo+) pun tak tahu,” katanya kepada FMT.
FMT pernah melaporkan kisah Sinan pada peringkat awal operasi Durioo+ yang bercita-cita mahu menjadikan platform itu sama gah dengan jenama Netflix dan Disney untuk kategori hiburan kanak-kanak.
Yakin dengan bakat dari Malaysia, Sinan juga mahu menggunakan platform Durioo+ untuk mengumpul sebanyak mungkin rancangan tempatan berdaftar dengan harta intelek (IP) bagi tontonan masyarakat dunia.
Katanya, setakat ini beberapa program tempatan disiarkan di platform berkenaan antaranya Upin Ipin Iqra’, Impian Remy, Misi Adi, dan Kring yang jumlahnya bakal bertambah jika perbincangan yang sedang berlangsung berjalan lancar.
“Sebenarnya misi kami untuk kumpulkan semuanya (IP tempatan) sebab kandungan Malaysia sangat bermanfaat diketengahkan,” ujar bapa kepada dua orang anak itu.

Durioo+ turut menghasilkan rancangan sendiri bawah label Durioo Originals seperti Little Ammar, Mina Mila, Zehny, dan Bubu Lala, selain melesenkan lebih 1,500 episod rancangan dari seluruh dunia termasuk Upin & Ipin, Baby Shark, Tayo The Little Bus, Robocar Poli dan banyak lagi.
Platform dikendalikan Sinan dan 65 pekerja produksinya itu turut menarik perhatian pemecut Silicon Valley paling berprestij, Y Combinator, yang memilihnya menjadi antara syarikat pemula bawahnya.
Menurut Sinan, Durioo+ bersaing dengan 17,000 pengusaha dari seluruh dunia untuk bersama Y Combinator, yang berhasil melahirkan syarikat berjaya termasuk Airbnb, Dropbox, dan Twitch.