Utama usahawan Orang Asli, bukan beri projek pada ‘orang luar’, kerajaan diberitahu

Utama usahawan Orang Asli, bukan beri projek pada ‘orang luar’, kerajaan diberitahu

Bekas ketua pengarah Jakoa Ajis Sitin berkata pelaksanaan projek prasarana dan perkhidmatan mesti diberikan kepada usahawan Orang Asli bagi tujuan pemerkasaan.

Usahawan Orang Asli sukar bersaing dengan usahawan arus perdana, justeru memerlukan perhatian kerajaan terutama melibatkan program prasarana serta kontrak kecil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Projek pembangunan Orang Asli sepatutnya diberikan kepada usahawan dari kalangan masyarakat itu, berbanding diuruskan “orang luar”, kata bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Ajis Sitin.

Beliau yang juga senator, menegaskan kerajaan perlu menghentikan memberi projek pembangunan kepada pihak luar kerana ia tidak membantu meningkatkan kemajuan usahawan tempatan.

“Peruntukan yang banyak ini kepada Jakoa antaranya bolehlah diguna untuk membantu memperkasakan usahawan Orang Asli yang nampak sukar bersaing dengan usahawan arus perdana.

“Pelaksanaan projek prasarana dan perkhidmatan serta bekalan hendaklah diberikan kepada usahawan Orang Asli tempatan. Banyak kes kerja kontrak kecil di perkampungan Orang Asli ditawarkan kepada orang luar, jadi disebabkan itu perkembangan usahawan Orang Asli terbantut,” katanya kepada FMT.

Ajis yakin perkembangan usahawan Orang Asli lebih rancak sekiranya diberi lebih banyak peluang berkembang demi memajukan masyarakat mereka sendiri.

“Jadi, perkara itu kena ubah untuk meningkatkan lagi perkembangan usahawan Orang Asli,” katanya.

Beliau berharap, segala peruntukan disalurkan kepada Jakoa sampai kepada kumpulan sasar, selain digunakan sebaiknya seperti mana dirancang.

“Peruntukan itu perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan perbelanjaan dibuat mencapai misi dan manfaat yang disasarkan, serta dapat dibelanja habis dalam tahun semasa.

“Bagi mencapai hasrat itu, pihak berwajib hendaklah menggunakan institusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Orang Asli bagi membantu merancang dan memantau apa-apa inisiatif di kawasan mereka,” katanya.

Ajis turut memuji langkah kerajaan mengumumkan bajet tambahan kepada Jakoa, sambil berharap dana itu boleh diperuntukan bagi tujuan pendidikan, penyelesaian kerja ukur tanah rizab, selain memajukan usahawan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Jakoa pertama kali menerima bajet tambahan RM42.38 juta daripada kerajaan, menjadikan jumlah itu bertambah daripada RM113.8 juta kepada RM156.6 juta.

Zahid berkata, peningkatan jumlah itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan berharap pembangunan dalam kalangan generasi baharu masyarakat Orang Asli dapat dipertingkatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.