
Namun, kebimbangan itu bertukar lega apabila mendapat panggilan beg berkenaan ditemui, lebih mengharukan individu menemuinya sanggup menghantar ke hotel walaupun berada di seberang pulau.
Saravana, 46, dari Kuala Lumpur menceritakan kisah jurugambar Shukur Ghazali, 22, di media sosial untuk menggambarkan kebaikan penduduk di pulau pelancongan itu.
Dia berkata, ibunya kehilangan beg itu di jeti Tanjung Rhu, tempat orang ramai menaiki bot ke Kilim Geoforest Park – destinasi pelancongan popular.
Saravana berkata, selain wang beg itu turut mengandungi dokumen peribadi ibunya dan beberapa barangan sentimental milik mendiang suaminya yang meninggal dunia Disember lalu.
Menurutnya, dia terkejut apabila Shukur berkeras menghantar sendiri beg itu kerana ia mengandungi jumlah wang yang banyak.
“Kami tidak tahu apa lagi boleh kami lakukan untuk memberi penghormatan kepada orang jujur sepertinya,” kata Saravana kepada FMT selepas menyiarkan pengalamannya di Facebook dengan gambar Shukur.
“Ini kisah menakjubkan dan saya tidak pernah mengalami perkara seperti ini. Hakikatnya ada orang sepertinya yang prihatin.
“Kami beri Shukur sedikit penghargaan. Mulanya dia tolak tetapi selepas diberitahu ibu akan sedih jika dia berbuat demikian barulah dia terima,” katanya.
Shukur berkata, dia segera mencari pemilik beg itu apabila menemuinya di bangku di jeti Tanjung Rhu, tempatnya bekerja sebagai jurugambar.
Katanya, dia menghubungi hotel selepas menemui kad kunci di dalam beg itu.
“Ia bukan milik saya…saya tidak boleh simpan,” katanya.