Sultan Kedah seru kerajaan sokong projek lapangan terbang Kulim

Sultan Kedah seru kerajaan sokong projek lapangan terbang Kulim

Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah projek KXP wajar diberikan pertimbangan dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi Kedah dan wilayah utara.

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memeriksa perbarisan sebelum merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, DUN DUN Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR; Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah kerajaan persekutuan diseru menyokong dan memberi pertimbangan bagi pelaksanaan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) demi manfaat menyeluruh kepada negara dan negeri itu khususnya.

Sultan Sallehuddin bertitah, projek KXP wajar diberikan pertimbangan dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi Kedah dan wilayah utara.

“Perancangan untuk membangunkan projek KXP bermula sejak 2013. Dalam tempoh tersebut, sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan.

“Berdasarkan kepada kajian-kajian tersebut, pembangunan KXP bakal menjadi ‘Economic Game Changer’ kepada negeri Kedah dan berfungsi sebagai pelengkap kepada lapangan terbang sedia ada di utara tanah air melalui penyediaan perkhidmatan kargo yang lebih komprehensif dan disokong dengan pembangunan hab ‘Maintenance, Repair and Operation’ (MRO),” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman. Turut berangkat Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Sultan Kedah bertitah, projek KXP yang akan dilaksanakan secara kaedah pembiayaan swasta (PFI) berperanan sebagai enabler atau pemboleh kepada keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis yang merangkumi komponen lain seperti Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing Hub, Business Park dan pembangunan Airport City.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin turut menekankan pentingnya keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan agar fokus terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat tidak terjejas.

Titah baginda, negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperoleh manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang.

“Tanpa gandingan yang harmoni di antara kedua-duanya, rakyat pasti akan menerima kesannya. Elak berpolitik secara berlebihan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan,” titah baginda.

Sementara itu, baginda menyeru kerajaan negeri dapat meneliti dan mengkaji semula dasar berbentuk fiskal mahupun undang-undang yang lapuk.

“Hal ini adalah supaya perkara tersebut dapat diangkat untuk perhatian kerajaan persekutuan melalui platform bersesuaian agar ia dapat dikaji semula dan dipinda sewajarnya,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Sallehuddin bertitah dalam menilai kadar inflasi yang saban tahun menunjukkan peningkatan, maka sebahagian daripada kadar pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri perlu dikaji semula dan ditetapkan dengan satu kadar baharu yang lebih relevan mengikut situasi masa kini.

“Sebagai contoh, kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) bawah Fasal (1)(a) Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan yang kali terakhir dipinda adalah pada 20 tahun yang lepas melalui Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2002 [Akta 622],” titah baginda.

Sidang DUN Kedah kali ini akan berlangsung hingga Rabu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.