Sokong perubahan, kata anak Najib selepas kalah rebut naib ketua Pemuda Umno

Sokong perubahan, kata anak Najib selepas kalah rebut naib ketua Pemuda Umno

Pada pemilihan Pemuda Umno semalam, Nazifuddin Najib berdepan Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, Mohd Hairi Mad Shah dan Muhammad Farhan Khairuddin untuk jawatan naib ketua.

Nazifuddin Najib berkata beliau menerima kekalahan dalam pertandingan jawatan naib ketua Pemuda Umno. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mohd Nazifuddin Najib yang tewas dalam pertandingan merebut jawatan naib ketua Pemuda Umno semalam mengajak ahli parti menyokong perubahan bakal dibuat calon menang.

Anak bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata, meskipun kecewa dengan kekalahan itu beliau menerima dengan terbuka dan akan terus bersama Umno.

“Walaupun saya kecundang di peti undi, saya seru sahabat dan rakyat menerima qada’ dan qadar (ketentuan) ini dengan hati terbuka serta matang.

“Saya mengajak semua untuk menyokong pihak menang agar segala perubahan bakal dilaksanakan mampu menambah baik Umno itu sendiri,” katanya di Facebook.

Pada pemilihan sayap Pemuda Umno berlangsung semalam, Nazifuddin berdepan Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, Mohd Hairi Mad Shah dan Muhammad Farhan Khairuddin untuk jawatan naib ketua.

Mengikut keputusan tidak rasmi setakat 1 tengah hari tadi, Hairi memperoleh 74 undi diikuti Ikmal dengan 69 undi manakala Nazifuddin mendapat 11 undi.

Nazifuddin juga bertanding jawatan ketua Umno Langkawi yang pemilihannya bakal berlangsung 18 Mac depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.