Sindiket sami palsu tumpas, 5 warga Thai ditahan

Sindiket sami palsu tumpas, 5 warga Thai ditahan

Polis berkata berdasarkan maklumat Konsulat Thailand, setiap sami sebenar akan memakai pakaian sami dalam pasport mereka.

Gambar lima suspek menyamar sami yang ditahan polis dalam serbuan di dua pasar awam di Bukit Mertajam pada Rabu dan Jumaat lalu. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Polis menumpaskan sindiket meminta sedekah dijalankan sami palsu dari Thailand selepas menahan lima warga asing, termasuk seorang warga emas, dalam serbuan di dua pasar awam di sini pada 8 dan 10 Mac lalu.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Tan Cheng San, berkata bertindak atas maklumat awam dan risikan, polis menyerbu Pasar Awam Bukit Mertajam pada 9.30 pagi sebelum menahan dua lelaki dan dua wanita warga Thailand.

“Polis merampas empat bekas mangkuk dan wang tunai RM40 daripada mereka yang menyamar sebagai sami untuk mengutip sedekah, manakala serbuan kedua pada 7.15 pagi Jumaat di Pasar Awam Taman Chai Leng, Perai, kami menahan seorang lagi lelaki bersama duit RM158 yang turut menjalankan kegiatan sama.

“Siasatan awal mendapati mereka berusia 41 hingga 64 tahun itu masuk ke negara ini menerusi pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Kedah, sejak Februari dan awal bulan ini dengan beberapa kali ke sini menjalankan kegiatan tersebut,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu didalangi lelaki tempatan yang berperanan menyediakan rumah dan menghantar sami palsu terbabit ke beberapa lokasi, terutama pasar awam sekitar daerah ini untuk meminta sedekah serta usaha mengesan suspek giat dijalankan.

“Penahanan mereka juga mendapat kerjasama Konsulat Thailand yang berperanan memastikan sama ada individu tersebut sami sebenar atau palsu. Berdasarkan maklumat konsulat juga, setiap sami sebenar akan memakai pakaian sami dalam pasport mereka.”

Tan berkata, sami palsu itu dipercayai mampu mengutip sedekah sehingga RM500 setiap hari dalam tempoh empat hingga lima jam dan tindakan mereka menyebabkan sami sebenar gagal mendapatkan sumbangan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.