Raih majoriti besar ketua Pemuda, bukti Umno tiada kem, kata Akmal

Raih majoriti besar ketua Pemuda, bukti Umno tiada kem, kata Akmal

Setakat 10 pagi tadi, Dr Akmal Saleh yang juga Adun Merlimau sudah mendapat lebih 110 undi daripada 189 bahagian Umno.

Adun Merlimau Dr Akmal Saleh berkata pemilihannya sebagai ketua Pemuda Umno manifestasi hasrat perwakilan yang mahu satu suara padu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majoriti besar diraih Dr Akmal Saleh dalam saingan ketua Pemuda Umno, semalam, menafikan dakwaan wujud beberapa kem dalam parti.

Setakat 10 pagi tadi, Akmal yang juga Adun Merlimau berkata, beliau secara tidak rasmi sudah mendapat lebih 110 undi daripada 189 bahagian Umno.

Beliau berkata, sokongan besar kepadanya juga membuktikan hasrat perwakilan di peringkat bahagian dan cawangan yang mahukan satu suara yang padu.

“Jika ada kem, sudah tentu pecahan undi (yang besar) berlaku, tetapi ini tidak berlaku dan yang ada hanyalah kem Umno.

“Saya minta semua rakan, walaupun yang kalah (dalam pemilihan) untuk bersama-sama kerana yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua,” katanya menurut Berita Harian.

Calon lain merebut jawatan ketua Pemuda turut melibatkan bekas timbalan menteri kewangan, Shahar Abdullah; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Armand Azha Abu Hanifah, dan Meor Hassan Mat Ali.

Mengulas kenyataannya malam tadi untuk meminda perlembagaan sayap itu bagi mengehadkan usia calon ketua Pemuda kepada 40 tahun, Akmal berkata, usul itu akan dibawa pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun ini.

“Saya komited dalam hal ini supaya Pemuda Umno dapat melahirkan generasi pemimpin baharu, bukan mengekalkan kedudukan pemimpin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.