
Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai berkata, klip video di TikTok menunjukkan lelaki itu berucap di depan penyokong Muhyiddin sambil berdiri di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih.
Katanya, lelaki itu mengkritik pelantikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dan kekurangan dana untuk Ahli Parlimen pembangkang.
Beliau turut mendakwa kerajaan tidak menjaga orang Melayu atau mempertahankan Islam.
“Siasatan awal mendapati ucapan individu tersebut mempunyai kecenderungan untuk memberi persepsi yang mungkin mendatangkan kegusaran kepada awam. Polis memandang serius dakwaan itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beh menggesa orang ramai tidak menyebarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada orang ramai bagi menjamin keharmonian serta kesejahteraan kaum.
Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222.