Penilaian EIA projek tambak laut P Pinang perlu lebih banyak masa, kata menteri

Penilaian EIA projek tambak laut P Pinang perlu lebih banyak masa, kata menteri

Projek Pulau Pinang Selatan membabitkan pembangunan tiga pulau buatan di luar perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Jabatan Alam Sekitar perlu lebih teliti dalam penilaian EIA yang diserahkan Januari lalu. (Gambar Bernama)
BATU KAWAN:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memerlukan lebih banyak masa menilai secara menyeluruh penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk projek penambakan mega Pulau Pinang Selatan (PSI), kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim itu berkata, EIA yang dikemukakan kerajaan negeri Januari lalu perlu melalui beberapa semakan.

“Kami tidak akan meminta beberapa semakan jika proses penilaian EIA tidak ketat.

“Apa yang saya katakan ialah proses penilaian (JAS) agak teliti,” katanya selepas menghadiri sebuah program di sini.

Nik Nazmi menjangkakan penilaian itu akan siap dalam beberapa bulan lagi.

Beliau menjawab soalan berhubung pendirian kerajaan perpaduan terhadap projek penambakan mega, dicadangkan beberapa negeri, yang mungkin mempunyai kesan buruk kepada alam sekitar.

PSI menyasarkan penambahan 4,500 ekar tanah dengan menambak tiga pulau di selatan Pulau Pinang. Projek itu belum bermula kerana menunggu kelulusan kawal selia persekutuan.

Projek penambakan bernilai RM10 bilion seluas 17km persegi itu membabitkan pembangunan tiga pulau buatan manusia di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas. Ia dicadangkan sebagai modul pembiayaan untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Projek kontroversi itu dibantah nelayan yang mendakwa projek tiga pulau terbabit akan memusnahkan pendapatan mereka dan NGO tempatan mendakwa projek berkenaan akan merosakkan ekosistem marin di bahagian selatan pulau dengan teruk.

Selain Pulau Pinang, kerajaan Melaka dan Kedah masing-masing turut mencadangkan projek Melaka Gateway serta Widad@Langkasuka yang membabitkan pembinaan pulau buatan manusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.