
“Bersedialah. Kebebasan media akan disekat. Kebebasan bersuara akan dikekang. Kebebasan berhimpun akan dihalang. Jangan terkejut jika ada pengguna TikTok yang akan ditahan.
“Pengulas di media sosial akan ditekan kerana itulah cara mereka. Semasa tiada kuasa kuat memfitnah. Apabila sudah ada kuasa rakus menindas,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-5 di Menara PGRM.
Muhyiddin juga mengingatkan ahli Bersatu supaya bangkit melawan pihak yang cuba menjatuhkan parti dengan pelbagai tekanan, termasuk pendakwaan terpilih.
“Mereka boleh dakwa saya. Mereka boleh aniaya saya. Tetapi mereka tidak boleh hancurkan Bersatu. Bersatu ini bukan saya. Bersatu ini kita semua. Mereka mendakwa saya untuk melemahkan saya. Mereka juga mendakwa Wan Saiful (Wan Jan) untuk melemahkan saf kepimpinan Bersatu.
“Jangan kita berasa lemah dan gundah-gulana dengan siri pemangsaan politik yang mereka cuba lakukan. Kita bukan tidak pernah berhadapan dengan cabaran dan dugaan,” katanya.
Mengulas kegagalan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan selepas PRU15, Muhyiddin berkata, ia adalah “kemenangan tertangguh”.
“PRU15 adalah kemenangan tertangguh buat Bersatu dan PN. Kita telah berjaya mendapat sokongan majoriti 115 Ahli Dewan Rakyat, namun telah ditentukan oleh Allah, PN tidak menjadi kerajaan persekutuan pada kali ini,” katanya.