
Pengarah LFL, Zaid Malek turut menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi akujanji kepada umum, tiada lagi tindakan keras ke atas perhimpunan aman, tidak kira ia anjuran kerajaan, pembangkang, masyarakat sivil atau orang awam.
Khamis lalu, ratusan pemimpin politik dan penyokong berhimpun di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi menyokong Muhyiddin, yang dipanggil untuk disoal siasat berhubung program Jana Wibawa diperkenalkan ketika beliau menjadi perdana menteri.
Semalam, polis dilaporkan berkata, mereka membuka satu kertas siasatan berhubung himpunan itu.

Sambil merujuk sokongan konsisten Pakatan Harapan (PH) terhadap hak orang ramai untuk kebebasan berhimpun tanpa gangguan polis, Zaid mempersoalkan sama ada “semuanya retorik semata-mata”?
Beliau berkata, hak berhimpun secara aman dilindungi di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan tertakluk kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira penjajaran politik mereka.
“Kami menggesa kerajaan pimpinan PH tidak mengingkari prinsipnya sendiri memandangkan mereka kini berkuasa, dengan memastikan hak berhimpun secara aman dilindungi sepenuhnya.
“Ia akan menjadi kepura-puraan jelas dan dwistandard bagi kerajaan pimpinan PH yang kini mengetuai tindakan keras terhadap perhimpunan awam secara aman anjuran pembangkang sekarang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tiada justifikasi undang-undang atau moral untuk siasatan jenayah dijalankan ke atas perhimpunan itu yang diadakan secara aman dan bersurai dengan cepat.
Beliau turut mendakwa siasatan itu bertujuan “menghalang ekspresi perbezaan pendapat dan hak untuk berhimpun”.
“Ia adalah tindakan menyalahi undang-undang oleh polis dan kerajaan.”
Katanya, tidak munasabah mengharapkan peserta “mematuhi dengan tegas” Akta Perhimpunan Aman kerana himpunan awam boleh berlaku secara mengejut sebagai sebahagian tindak balas segera terhadap keadaan.
“Menuntut (pematuhan) sedemikian akan menjadi pengehadan tidak berperlembagaan terhadap hak orang ramai untuk berhimpun di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya sambil menambah Akta Perhimpunan Aman adalah bawahan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, penganjur dan beberapa individu yang dikenal pasti menganjurkan perhimpunan solidariti untuk Muhyiddin akan dipanggil untuk disoal siasat.
Beliau dipetik Bernama berkata, kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.