Hanya keputusan naib ketua Pemuda Umno belum dimuktamad, kata Shahrir

Hanya keputusan naib ketua Pemuda Umno belum dimuktamad, kata Shahrir

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno berkata keputusan jawatan ketua Pemuda, Wanita dan Puteri boleh ditentukan malam ini, walaupun secara tidak rasmi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Shahrir Samad berkata lapan bahagian belum menghantar keputusan undian mereka kepada ibu pejabat Umno. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hanya keputusan pemilihan bagi jawatan naib ketua Pemuda Umno belum boleh dimuktamadkan malam ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihannya, Shahrir Samad.

Ini kerana, katanya, terdapat lapan bahagian belum menghantar keputusan undian mereka kepada ibu pejabat Umno.

Beliau berkata, persaingan jawatan itu sangat sengit dengan hanya enam undi memisahkan Hairi Mad Shah yang memperoleh 85 undi dan Ikmal Hazlan Ikmal Hisham dengan 79 undi setakat 8 malam tadi.

“Menunggu kepastian kerana perbezaan antara tempat pertama dan tempat kedua (buat masa ini) hanyalah enam undi. Jadi, maknanya kalau ada lagi lapan bahagian (yang belum hantar) ia boleh mengubah keadaan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn.

Shahrir bagaimanapun berkata, keputusan bagi jawatan ketua Pemuda, Wanita dan Puteri boleh ditentukan malam ini, walaupun secara tidak rasmi.

Di peringkat Wanita, katanya, Noraini Ahmad mempertahankan kedudukannya yang dicabar Shahrizat Abdul Jalil, manakala Norliza Abdul Rahim turut mempertahankan jawatannya sebagai naib ketua Wanita.

Bagi jawatan ketua Pemuda pula, Dr Muhamad Akmal Salleh menang selesa dengan 119 undi setakat ini berbanding 50 undi diraih pencabar terdekatnya, Shahar Abdullah.

Beliau berkata, Nurul Amal Fauzi memenangi jawatan ketua Puteri, manakala naib ketua sayap itu adalah Siti Sokhleha Nordin.

Katanya, keputusan rasmi semua jawatan itu akan diumumkan dalam sidang media pagi esok.

Sementara itu, Shahrir memaklumkan pihaknya menerima bantahan keputusan bagi jawatan ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kedah dan pemilihan semula akan diadakan sebelum 17 Mac ini, selaras prinsip parti memberi tiga hari kepada mana-mana perwakilan mengemukakan bantahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.