
“Sehingga 2019 atau sebelum era sebelum Covid-19, Melaka menerima kemasukan kira-kira 36 persiaran setahun, bermakna tiga kapal sebulan,” kata perunding terminal pelayaran, Linza Wells.
Katanya, angka itu disifatkan rendah memandangkan kunjungan kapal berdasarkan faktor bermusim, sambil menambah ada syarikat persiaran masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik.
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pihak kementerian dalam perbincangan dengan kerajaan Melaka untuk meneruskan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT).
Projek terbabit melibatkan kerja penambakan laut yang menjadi sebahagian projek Melaka Gateway, turut merangkumi empat pulau buatan menempatkan residensi, komersil, kebudayaan, hiburan, dan elemen gaya hidup.
Wells berkata, terminal kapal itu tidak mungkin berfungsi sebagai pelabuhan bagi kapal persiaran disebabkan kedudukan Melaka, selain kurangnya sambungan dengan lapangan terbang.
“Adalah lebih bersesuaian membangunkan Melaka sebagai terminal kapal persiaran asas, terutama ketika ini mereka menggunakan bot kecil dibawa bersama kapal persiaran untuk mengambil penumpang dan membawa mereka ke daratan.”
Bagaimanapun, beliau berkata, ini bermakna pendapatan hasil projek itu dijangka jauh lebih rendah susulan kebanyakan penumpang tidak singgah di perhentian berkenaan untuk meluangkan masa mahupun wang.
“Kita menjangkakan hanya 30 ke 40% penumpang akan singgah mungkin dalam tempoh tiga ke empat jam di terminal itu,” katanya. “Jadi, mereka juga tidak menginap di hotel di kawasan sekitar kerana hanya transit sebentar.”
Wells berkata, sekiranya ada keperluan membina terminal kapal persiaran, kawasan lain di sepanjang Selat Melaka lebih bertepatan, dan tidak memerlukan sebarang kerja penambakan laut.
Katanya, terdapat kawasan di sekitar Klebang Besar dengan kedalaman hampir 11 meter yang membolehkan pembinaan terminal kapal persiaran “paling asas”, tanpa melibatkan apa jua penambakan.
Terminal kapal persiaran antara satu daripada tiga pelabuhan sedang dibina di bawah projek RM42 bilion Melaka Gateway yang dihidupkan semula.
Loke berkata, lesen pengoperasian pelaburannya sebelum ini dibatalkan kerana beberapa masalah walaupun projek itu hampir siap.
Katanya, pihak kementerian menerima permohonan daripada pemaju Melaka Gateway bagi menghidupkan semula projek berkenaan, sambil menyatakan timbul pelbagai kesan negatif sekiranya ia tidak diteruskan.