
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, tanggapan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri itu sebagai langkah musuh politik adalah persepsi silap kerana semua siasatan dan pertuduhan mengikuti proses sewajarnya berlandaskan undang-undang.
“Bagi pihak kerajaan, semestinya kita mengikut proses. SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), juga peguam negara dah menyatakan mereka bersifat ‘independent’, tiada arahan daripada sesiapa, sebaliknya mereka cuma melihat kepada fakta dan membawa kes itu ke mahkamah.”
Fahmi, yang juga menteri komunikasi dan digital, berkata demikian selepas melawat pejabat Bernama Biro Johor, di sini.
Semalam, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.
Hakim Azura Alwi membenarkan Ahli Parlimen Pagoh itu diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin, selain memerintahkan beliau menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mengulas isu Naib Ketua Wanita Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin yang ditegur penyanyi, Amir Jahari kerana menggunakan lagunya bertajuk “Hasrat” sebagai lagu latar untuk hantaran video melibatkan pendakwaan kes Muhyiddin, Fahmi berkata, setiap pihak perlu menghormati hak pengkarya.
“Mana-mana artis ada hak atas karya mereka, wajib kita hormati, itu paling baik, dan bila minta maaf, pohonlah sebaiknya.”