SSM pertahan kod etika pakaian kerana ‘amalan baik’

SSM pertahan kod etika pakaian kerana ‘amalan baik’

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkata pihaknya kesal dengan insiden melibatkan seorang wanita memakai 'gaun singkat' ke pejabatnya di Ipoh.

Khor Hooi Chin mempertahankan pemakaiannya yang dikatakan menepati kod etika berpakaian kepada pegawai SSM.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mempertahankan kod etika berpakaian untuk orang awam berurusan di pejabatnya kerana ia adalah “amalan baik”.

Penegasan itu dibuat susulan insiden seorang wanita dilarang memasuki premisnya di Ipoh, semalam, kerana tidak mematuhi kod ditetapkan.

SSM menjelaskan ia kesal dengan kejadian yang berlaku dan pihaknya bersedia menerima cadangan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada semua pelanggan.

“Pelaksanaan kod etika berpakaian semasa berurusan di kaunter perkhidmatan SSM telah lama diamalkan dan merupakan amalan baik dengan mengambil kira perkhidmatan disampaikan melibatkan semua lapisan masyarakat, seperti di agensi perkhidmatan lain.

“SSM juga memberikan opsyen untuk melakukan urusniaga secara dalam talian untuk kemudahan awam. Pada 10 Mac, pelanggan tersebut telah dibantu oleh pegawai SSM dan selesai melaksanakan urusniaga pada 3.20 petang hari sama,” katanya dalam kenyataan.

Khor Hooi Chin dihalang memasuki pejabat SSM di Ipoh pada 11 pagi semalam, sambil memohon diberikan kelonggaran dalam klip video tular.

Dalam klip video itu, Khor kedengaran bertanya kepada kakitangan SSM apa yang “menyinggung” tentang pakaiannya dan mengadu garis panduan itu dikenakan “terlalu ketat”.

Kakitangan itu kemudian memberitahunya, dia boleh membangkitkan perkara terbabit dengan pegawai atasannya, dan Khor menjawab bahawa dia tidak dibenarkan memasuki bangunan itu.

Kakitangan itu berulang kali mengingatkan Khor bahawa pakaiannya tidak mematuhi garis panduan kod pakaian dipamerkan di pintu masuk.

Khor kemudian memberitahu The Star, pakaiannya dianggap “pakaian pejabat dan tiada apa-apa yang provokatif mengenainya”.

Insiden itu adalah yang terbaru membabitkan seorang wanita tidak dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan kerana didakwa melanggar kod berpakaian.

Pada 16 Feb, dilaporkan seorang wanita berusia 60 tahun dilarang menggunakan lif di pejabat Majlis Bandaraya Pasir Gudang selepas seorang pengawal keselamatan menganggap pakaiannya “tidak sesuai”.

Pada Januari, seorang wanita yang ingin membuat laporan polis berikutan kemalangan kereta telah dihalang masuk ke IPD Kajang kerana “memakai seluar pendek”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.