Saya tak peduli tohmahan tindakan perangi rasuah, kata PM

Saya tak peduli tohmahan tindakan perangi rasuah, kata PM

Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak mengizinkan pelaku rasuah bebas 'menggondol' dana rakyat dan berfikir boleh terlepas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata mahu rakyat memberi kesempatan kepada kerajaan membersihkan negara daripada segala keterlanjuran ‘perompak-perompak besar’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan sama sekali tidak peduli tohmahan dilemparkan berhubung pendirian kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku rasuah.

Katanya, beliau juga tidak peduli jika tindakan diambil berhubung dakwaan rasuah merupakan satu tindakan politik.

Menurutnya, beliau bersama Jemaah Menteri dan agensinya serius untuk membendung isu ketirisan wang negara.

“Tidak boleh kita izinkan dana negara, dana negeri, dana bandar raya diambil secara haram untuk memperkayakan segelintir. Tidak mungkin kita izinkan sesiapa tanpa kecuali untuk merasa bebas untuk gondol hak rakyat dana rakyat dan merasa boleh terlepas.

“Saya nak pastikan hal ini tidak berlaku dan berilah kita kesempatan dalam kerajaan perpaduan ini untuk melaksanakan program kita bersihkan negara daripada segala keterlanjuran ‘perompak-perompak besar’ dan kita tumpu sepenuhnya dalam memelihara kepentingan rakyat.

“Saya tak peduli apa yang disebut, ditohmahkan di luar ataupun dianggap ini satu tindakan politik, tidak.

“Percayalah, kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri ada, timbalan menteri ada, KSU (ketua setiausaha) untuk tahu kita serius untuk bangkitkan, pastikan perubahan berlaku,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara di Taman D R Seenivasagam di Ipoh.

Semalam, Muhyiddin Yassin yang juga bekas perdana menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.