
Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir, berkata berkata gesaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan adalah tidak wajar susulan pendakwaannya di atas enam pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Menurutnya, tidak harus ada sikap pilih kasih, sambil melontarkan persoalan jika Muhyiddin berundur, bagaimana pula dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan individu lain terbabit dalam kes mahkamah.
“Kita perlu konsisten,” katanya kepada FMT.
Zahid dibicarakan atas 47 pertuduhan rasuah berhubung Yayasan Akalbudi yang diketuainya manakala Lim Guan Eng, kini pengerusi DAP, dibicarakan atas dakwaan sogokan dan penyelewengan tanah ketika beliau memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai presiden Bersatu akan membolehkan parti itu mengatakan mereka bertanggungjawab ke atas “kluster mahkamah” dalam Bersatu.
“Mereka akan berbeza daripada pemimpin parti politik lain yang tidak menjauhkan diri (daripada jawatan mereka) walaupun mempunyai kes mahkamah,” kata Azmi merujuk kepada Lim dan Zahid.
Penting bagi Bersatu berbuat demikian kerana parti itu sering memperkatakan mengenai isu “kluster mahkamah” dalam Umno membabitkan Zahid dan Najib Razak yang menghadapi perbicaraan atas pelbagai tuduhan.
Azmi mencadangkan Muhyiddin mengikut jejak langkah Wan Saiful Wan Jan yang meletak jawatan sebagai ketua penerangan parti selepas didakwa bulan lalu atas tuduhan meminta dan menerima rasuah.
Rabu lalu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata “tidak logik” untuk Muhyiddin meletak jawatan kerana pendakwaan ke atasnya adalah tuduhan politik selain langkah itu juga tidak akan dipersetujui pimpinan Bersatu.
Muhyiddin menyerahkan kedudukannya kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.